Friday, October 17, 2014

Soalan Ekonomi Malaysia #1

Soalan:
Terangkan perbezaan antara:
(a) pengangguran kitaran dengan pengangguran geseran. (3m)

Pengangguran kitaran berlaku disebabkan kemerosotan permintaan agregat sehingga ramai pekerja diberhentikan kerja apabila pengeluar terpaksa mengurangkan pengeluaran manakala pengangguran geseran pula berlaku kerana tenaga buruh berhenti kerja untuk mencari pekerjaan yang lebih baik. 

Pengangguran kitaran berlaku apabila ekonomi belum mencapai guna tenaga penuh sedangkan pengangguran geseran berlaku ketika ekonomi telah mencapai guna tenaga penuh.

Pengangguran kitaran bersifat jangka panjang dan mempunyai kesan buruk terhadap ekonomi manakala pengangguran geseran bersifat sementara dan tidak meninggalkan kesan buruk terhadap ekonomi.

(b) pengangguran struktur dengan pengangguran teknologi. (3m)

Pengangguran struktur berlaku apabila perubahan struktur dan corak kegiatan ekonomi telah menyebabkan permintaan terhadap tenaga buruh sektor tertentu berkurangan. Misalnya, peralihan daripada sektor pertanian kepada sektor perkilangan menyebabkan sebilangan tenaga buruh sektor pertanian menganggur kerana mereka tiada kemahiran kerja untuk dipindahkan ke sektor perkilangan.

Pengangguran teknologi berlaku apabila permintaan terhadap buruh berkurang kesan daripada penggunaan teknologi baharu yang menggantikan pekerjaan yang dilakukan oleh tenaga buruh. Misalnya peralihan kaedah pengeluaran daripada kaedah intensif buruh kepada kaedah intensif modal menyebabkan peranan sesetengah tenaga buruh yang kurang mahir diambil alih oleh mesin dan robot.


No comments:

Post a Comment